POLITIKBN menang besar di Melaka petanda gelombang kebangkitan kata penganalisis

BN menang besar di Melaka petanda gelombang kebangkitan kata penganalisis

Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dengan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan sokongan dan kepercayaan rakyat sudah kembali kepada parti tersebut.

Malah, gelombang kemenangan BN termasuk kejayaan MCA serta MIC di tiga kerusi DUN dalam PRN tersebut dijangka berterusan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selain sebagai penanda aras pengundi Cina serta India mula kembali menyokong parti itu..

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, rakyat juga mahu melihat kestabilan politik dalam Kerajaan Negeri Melaka dengan kemenangan majoriti dua pertiga itu.

Selain itu, katanya, langkah BN mengetengahkan kebanyakan calon muka baharu memberi impak positif sehingga mencapai kemenangan besar.

“Kita juga melihat bagaimana BN mengetengahkan gabungan calon muda dan daripada masyarakat setempat seperti ketua cawangan. Calon-calon seperti ini mendapat tempat dalam kalangan pengundi memandangkan mereka sudah dekat dengan rakyat di kawasan masing-masing.

“Malah, penglibatan ikon rakyat dan masyarakat melalui pemimpinnya termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak yang turun ke Melaka menaikkan lagi sokongan rakyat kepada parti yang dipilih itu (BN),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Keputusan PRN Melaka semalam menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Keputusan itu menunjukkan BN mencatatkan prestasi yang jauh lebih baik berbanding Pilihan PRU-14 apabila mereka mendapat 13 kerusi dan hilang kuasa kepada Pakatan Harapan (PH).

Tambah Kamarul Azman yang juga Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura UUM (UUM-ITS), kemenangan MCA dan MIC juga memperlihat BN kembali mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Cina dan India.

“Dalam suasana pandemik Covid-19 dan cabaran ekonomi, rakyat mengharapkan BN kembali membawa sinar sebagaimana yang pernah dikecapi dahulu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Pas perlu kembali melihat hala tuju Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO, selepas parti itu menerusi Perikatan Nasional (PN) tewas semua lapan kerusi yang ditandinginya.

“Kita melihat momentum BN itu begitu ketara meskipun berdepan saingan PH dan PN dalam PRN Melaka itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

......