KUKUP – Janji kempen calon Barisan Nasional (BN), Dr. Wee Jeck Seng yang menjanjikan pengundi warga emas akan dihantar mengerjakan umrah adalah satu unsur rasuah.

Perkara itu seharusnya dilihat oleh BERSIH 2.0 terlebih dahulu dan bukan mengkritik tindakan kerajaan Johor khususnya yang mengumumkan bantuan wang RM1,000 kepada nelayan Johor Selatan semalam sebagai rasuah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, kerajaan bertanggungjawab menghulurkan bantuan kepada rakyat pada bila bila masa dan tidak hanya terikat kepada PRK sahaja.

Justeru beliau meminta BERSIH supaya cakap berfakta dan realistik dalam membangkitkan sesuatu isu.

“Kerajaan tidak bergantung kepada PRK Tanjung Piai, kerajaan perlu meneruskan kerjanya berkhidmat kepada rakyat setiap masa tanpa had waktu dan masa tidak kira kawasan Mersing ke atau ke mana bantuan diberikan.

“Yang saya nak soalkan calon BN ini, katakan menang, nak hantar pergi umrah, macam mana janji dia itu, bukankah itu satu elemen rasuah? BERSIH kena tengok ini,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan BERSIH 2.0 yang mendakwa kerajan Johor sebenarnya menyalahgunakan wang kerajaan pada waktu PRK dengan memberikan bantuan RM1,000 kepada nelayan di Johor Selatan.

Muhyiddin juga mendesak BERSIH jika tidak berpuas hati boleh membawa dakwaan itu dengan mencabar kerajaan di mahkamah.

“Kalau nak cabar bawa ke mahkamah, tak sangkut pun. Mahkamah akan menyebelahi kerajaan. Dia (kerajaan Johor) nak bantu, bantulah, adakah ia rasuah?

“Tak rasuah kerana orang miskin kena tolong dan kalau sakit kena tolong beri bantuan.

“Takkan kerajaan kata ok kita stop because, if people wanna die in Tanjung Piai biar mereka mati. Dont wanna give them ubat .. boleh ke jawab macam itu? Cuba jawab?” soal Menteri Dalam Negeri itu lagi.-MalaysiaGazette