POLITIKBerkait kegagalan undi usul SOSMA, Hamzah kata ‘Mereka tak suka tengok muka...

Berkait kegagalan undi usul SOSMA, Hamzah kata ‘Mereka tak suka tengok muka saya’

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mendakwa beberapa Ahli Parlimen kerajaan bertindak keluar Dewan Rakyat ketika undi belah bahagi Rabu lepas disebabkan mereka “tidak suka melihat wajah beliau”.

Hamzah meluahkan rasa kecewa dan terkilan selepas beberapa Ahli Parlimen kerajaan bertindak demikian ketika undi belah dijalankan bagi pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Saya rasa agak terkilan dengan beberapa Ahli Parlimen terutamanya daripada pihak kerajaan sendiri yang saya difahamkan berada dalam dewan ketika undi belah bahagi, ketika nak undi, dia keluar.

“Sudah tentu saya tidak gembira, sebahagian daripada mereka sudah berada di dewan tetapi keluar bila undi belah bagi, itu tidak adil, saya boleh namakan siapa.

“Sebab mereka tak suka muka saya,” katanya ketika ditanya alasan yang diberikan wakil kerajaan yang bertindak keluar Dewan Rakyat selepas menghadiri perbarisan sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL).

Hamzah turut membidas wakil rakyat yang tidak menyokong usul tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dalam menjaga kepentingan negara.

“Pemikiran orang seperti ini sebenarnya langsung tak fikirkan tanggungjawab dia demi kepentingan negara. Saya sudah jelaskan, isu SOSMA ini isu keselamatan negara. Bila ditolak oleh pembangkang, maknanya walaupun mereka mengaku sayangkan negara mereka tak sedar bahawa SOSMA dilakukan selepas kita tarik semula ISA.

“Jadi saya rasa agak terkilan kerana ada juga pihak sebelah kerajaan (tidak undi). Pembangkang itu satu bab, mereka main politik semata-mata. Saya minta rakyat sedar bahawa janganlah fikirkan politik. Hikmahnya, Allah nak tunjuk kepada kita semua, ada kumpulan yang dakwa sayang pada negara negara rupanya tak sayang pada negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa perundangan di bawah SOSMA yang memperuntukkan 28 hari tahanan itu dibuat selepas pelbagai pertimbangan dilakukan.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/03/25/mereka-tak-suka-muka-saya-kata-hamzah-berkait-kegagalan-undi-usul-sosma/

......