Seorang pekerja penghantaran di China menjadi perhatian netizen selepas videonya yang membawa bayi perempuan sepanjang waktu bekerja menjadi viral di media sosial.

Video itu amat menyentuh perasaan apabila dia yang hidup susah bergelut untuk membahagikan masa menjaga anak kecil bersama isteri hingga terpaksa membawa bayi mereka di dalam kotak yang ditempatkan di atas motosikal.

Rakaman klip yang mendapat lebih 80,000 tontonan itu menunjukkan bayi kecil terbabit, Li Fei’er mengikuti bapanya ke tempat kerja.

Menurut laporan South China Morning Post, Li sentiasa menemani bapanya sejak dia berusia enam bulan lagi.

Walaupun kelihatan agak tidak selesa, namun bayi terbabit dikatakan langsung tidak meragam sepanjang berada di atas motosikal malah mampu tersenyum seolah-olah memberi semangat kepada bapanya untuk bekerja.

“Hello semua, saya adalah pekerja penghantaran yang membawa anaknya. Atas beberapa sebab, saya terpaksa membawa Li bersama sejak Mei 2019.

“Ia bukan satu perkara yang mudah dan kami melalui pelbagai kesukaran namun terdapat juga pelbagai kenangan yang menyentuh perasaan,” kata lelaki itu dalam video berkenaan.

Lelaki itu dan isterinya yang bekerja di pasar terpaksa membahagikan masa untuk menjaga anak perempuan mereka.

Bayi berkenaan akan menemani bapanya pada waktu pagi manakala petang pula dia akan bersama dengan ibunya.

Walaupun pasangan itu berasa kurang senang dengan situasi itu terutama bagi anaknya yang masih kecil namun lelaki terbabit mengakui dia tiada pilihan lain.

Berdasarkan video dikongsi SCMP itu juga, keluarga terbabit tinggal dalam bilik sempit iaitu lebih kecil dari keluasan 107 kaki persegi.