BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan bawang merah, bawang besar dan bawang putih di negara ini mencukupi sehingga sambutan Tahun Baru Cina bulan depan.

Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi menampung bawang merah dari India yang mengalami kekurangan bekalan ketika ini, kerajaan mengimport lebih banyak bawang dari negara lain seperti Belanda, China dan Pakistan.

“Walaupun India merupakan pengeksport terbesar kepada Malaysia, kita masih ada bawang dari 3 negara tersebut. Saya beri jaminan bekalan 3 jenis bawang itu mencukupi sehingga sambutan Tahun Baru Cina nanti,” katanya selepas merasmikan program “Kembali ke Sekolah” di sini hari ini.

Saifuddin berkata, berdasarkan pemantauan, pihaknya mendapati trend kenaikan harga bawang merah berlaku kerana harga bahan itu mahal dari negara asalnya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau dan membuat pemeriksaan di premis serta pemborong bawang bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menyorok dan menjual barang itu pada harga tinggi.

Beliau turut mengarahkan pegawai KPDNHEP menjalankan siasatan dan meneliti laporan sebuah akhbar yang mendakwa wujud ancaman penyeludupan bawang di sempadan Malaysia-Thailand.

Menurut laporan akhbar itu, bekalan bawang mudah ditemui di pekan Padang Besar di Thailand sehingga berlaku lambakan yang menimbulkan tanda tanya kerana ketika berlaku kekurangan bekalan di kebanyakan negeri, kawasan sempadan Malaysia dan Thailand mempunyai lebihan stok.

Harga 1kg bawang merah sebelum ini ialah RM4, namun ia kini dijual RM12 bagi 1kg.

FMT