NASIONALAyo yo! Jual makanan, minuman secara pandu lalu kepada kaki ponteng puasa

Ayo yo! Jual makanan, minuman secara pandu lalu kepada kaki ponteng puasa

SUNGAI PETANI: Taktik licik sebuah premis menyediakan makanan dan minuman secara perkhidmatan pandu lalu kepada individu beragama Islam tidak berpuasa terbongkar selepas diserbu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIK) di Taman Gurun Jaya, Gurun dekat sini hari ini.

Premis terbabit yang popular dalam kalangan ‘kaki ponteng puasa’ itu  diserbu pada Ops Plastik Hitam oleh kakitangan Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) pada pukul 11 pagi.

Penolong Pengarah Pencegahan Bahagian Penguatkuasaan JHEAIK Sheikh Mohd. Nazif Zakaria berkata, premis itu dikesan membungkus makanan dan minuman sebelum diserahkan kepada pembeli yang menunggu di dalam kereta.

“Semua makanan siap dibungkus oleh pemilik premis ini dan pembeli biasanya berkereta dan motosikal sebelum berlalu membawa makanan.

“Walaupun harganya agak mahal sehingga RM10 untuk sebungkus nasi dan minuman, namun pembeli masih ramai mengunjungi premis ini berdasarkan bungkusan makanan yang telah disiapkan untuk dijual kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi  Ops Plastik Hitam di Gurun di sini hari ini.

Turut serta dalam operasi itu ialah Penolong Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Hakimin Hassan.

Pada operasi itu, sebanyak enam premis menjual makanan di daerah ini diperiksa dan tiga daripadanya didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Enakmen Jenayah Syariah 2014 iaitu tidak menghormati bulan puasa.

Menurutnya, peniaga yang ditahan itu diarah hadir ke Pejabat Agama Daerah Kuala Muda pada 20 April ini untuk tindakan lanjut.

Dalam operasi itu juga MPSPK telah mengeluarkan tiga notis saman terhadap tiga pemilik premis mengikut Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan (AKT) 1976 (Akta 171) kerana gagal mematuhi arahan kebenaran berniaga di bulan Ramadan selepas pukul 3 petang. –UTUSAN

......