Gambar seorang murid lelaki yang mengalami kesan berbirat di tangan kiri, viral di media sosial hari ini dan ibu mangsa mendakwa, anaknya telah dipukul oleh guru sekolah dipercayai berlaku di Alor Setar, Kedah.

Gambar-gambar yang dimuat naik di Facebook sejak jam 2.06 petang tadi telah dikongsi lebih dari 1,300 perkongsian yang rata-rata memberi reaksi terkejut dengan kesan yang dialami oleh kanak-kanak terbabit.

Menurut ibu kanak-kanak itu berkata, anaknya telah ‘ditibai’ oleh guru hanya kerana gagal menyelesaikan tugasan yang diberi.

“Allahu, bergetar tangan dan badan, jatuh air mata. Cikgu tibai Danish hanya sebab tak siap kerja sekolah yang baru diberi,” tulisnya.

Berdasarkan gambar, terdapat enam kesan birat di tangan kiri Danish yang sebahagiannya masih mempunyai kesan merah dan bengkak.

Di bahagian jari tangan kiri pula, jelas kelihatan kesan luka di pelipat jari telunjuk dan jari hantu. Begitu juga dengan kesan luka kecil di dahi kiri dan pipi mangsa yang kelihatan seperti kesan cakaran.

Wanita berkenaan turut berkongsi gambar serpihan pembaris kayu yang telah pecah yang dipercayai digunakan untuk memukul anaknya.

Walaupun begitu, ramai netizen yang mempertikaikan dakwaan tersebut yang dilihat bagaikan tidak masuk akal. Ada yang menuntut si ibu tampil memberi penjelasan penuh dan tidak kurang juga yang mahu guru terbabit dalam kejadian itu tampil mempertahankan dirinya.

Difahamkan, ibu bapa mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Alor Setar dan mangsa telah dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan.

Netizen meminta ibu mangsa tidak memadamkan semua postingnya yang berkaitan dengan kes itu agar guru yang didakwa memukul anaknya itu tampil memberi penjelasan dari sebelah pihak guru.

Sumber: Facebook Puan Eda Ni, TR