Foto BY Sam Fong

Naik, naik, kalau dulu masa sebelum mereka jadi kerajaan, ayat nak membela rakyat memang hari-hari mereka ungkapkan. Kali ini, sesudah menjadi kerajaan, tidak ada satupun yang nampaknya turun, kecuali hujan.

Kalau BN sinonim mereka ungkapkan Barang Naik, kali ini PH pula ‘Price Height’. Rakyat kena sailang sangat-sangat nampaknya, menitik air mata apa sekalipun, kena tunggu tiga tahun, lama tu.

Pengundi PH pun rasanya cukup terkesan, cuma kerana sudah buat silap mereka protes dalam hati sahaja.

Apa nak buat, kita hadapi dengan tenang wahai rakyat Malaysia. Selagi kita boleh bersuara, silakan luahkan sahaja, usahlah simpan, usahlah kita kata Kerajaan PH tetap menjaga rakyat.

Kerajaan naikkan cukai taksiran bermula tahun depan

AMPANG – Cukai taksiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara akan dinaikkan bermula tahun depan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Menurutnya, kenaikan itu dibuat sempena tahun penyelarasan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan selepas ada PBT yang tidak melaksanakannya sejak bertahun-tahun lamanya.

Bagaimanapun menurut beliau, kenaikan tersebut tidak akan dibuat secara mendadak sehingga menyusahkan orang ramai sebaliknya kadar kenaikan itu hanya dikutip seperti token mengikut perbandingan kediaman dan juga premis perniagaan.

“Saya sudah keluarkan arahan semua PBT untuk jadikan tahun 2020 sebagai tahun penyelarasan penilaian. Maknanya mereka (PBT) kena selaraskan pada tahun 2020 naikkan sikit ke apa untuk penyelarasan dan lepas itu setiap lima tahun kena ikut (naik).

“Kita buat kerana selama ini PBT tak ikut garis panduan kerajaan tempatan di mana setiap lima tahun kena naikkan. Tapi ini tidak dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Tapak Senario Ampang dan Santai@Ampang Point di sini malam ini.

Mengulas mengenai perkara tersebut Zuraida berkata, langkah pihaknya menaikkan cukai berkenaan adalah disebabkan ia tidak dinaikkan oleh ahli politik sebelum ini ekoran bimbang berdepan risiko ketika menjelang pilihan raya.

“Sebenarnya macam ini, kenaikan kadar cukai ini disebabkan ahli politik ini dia takut nak masuk pilihan raya (kesan kepada kenaikan akan mengundang masalah). Jadi, dia takut tu sebab tak naik sampai bertahun-tahun hingga 30 tahun.

“Saya nak hentikan budaya macam ini, pasal kalau kita tak buat dengan baik PBT susah nak menguruskan. Kalau PBT tiada duit kerajaan negeri tak kasi dia duit, nak cari duit kat mana? Dia punya pendapatan daripada cukai tu,” ujarnya.

Zuraida menambah, pada masa ini hanya PBT di Pahang sahaja yang telah melaksanakan kenaikan cukai taksiran berkenaan dan PBT di negeri-negeri lain belum berbuat demikian.

Sementara itu, Zuraida merancang akan menaik taraf Ampang sebagai sebuah bandar raya kerana PBT di kawasan berkenaan sudah mencapai sasaran yang ditetapkan.

Ini bermakna Majlis Perbandaran Ampang Jaya akan menjadi Majlis Bandar Raya Ampang Jaya.

Katanya, untuk menjadikan sesebuah PBT itu boleh dinaik taraf sebagai bandar raya ia mesti mencapai sasaran pendapatan hasil pungutan cukai sebanyak RM100 juta setahun manakala Ampang sudah melebihi sasaran iaitu RM160 juta. – MalaysiaGazette