BUTTERWORTH — Lorong kecemasan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dikesan menjadi lokasi pengguna meletakkan kereta sesuka hati dan bercumbu sambil menghayati pemandangan pantai bersama pasangan.

Tindakan mereka yang meletakkan kereta sambil leka berpelukan dan bermesra mengundang risiko kemalangan kepada pengguna kenderaan lain, lapor Harian Metro.

Bahagian Penguatkuasa Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) yang membuat serbuan malam semalam mengeluarkan saman kepada 16 pemilik kenderaan yang meletakkan kenderaan di tepi lebuh raya sepanjang dua kilometer.

Ketua polis daerah SPU berkata dalam operasi bermula 10 malam hingga lewat tengah malam, saman sejumlah RM4,800 dikeluarkan atas kesalahan menghalang di lorong kecemasan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis mendapati sejak akhir-akhir ini pengguna jalan raya tanpa segan silu berhenti dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan di situ walaupun terdapat papan tanda amaran dilarang berhenti di kawasan terbabit,” kata ACP Noorzainy Mohd Noor.