NASIONALApa kena sampai 11 bangkai lembu bersepah macam ni?

Apa kena sampai 11 bangkai lembu bersepah macam ni?

KUALA NERUS – Kegirangan seorang lelaki untuk mengisi masa lapang dengan memancing terbantut apabila terserempak dengan 11 bangkai lembu di tepi sungai berhampiran Kampung Sungai Lekar di sini pada Sabtu lalu.

Tambah dikesalkan Wan Mohd. Faizul Wan Jaafar, 35, bangkai haiwan ternakan itu yang sudah mereput  masih berada di lokasi itu dipercayai kawasan pembuangan sampah haram sewaktu melakukan tinjauan semula hari ini.

Dia yang menetap di Kampung Sungai Ikan di sini memberitahu telah menjumpai 11 bangkai lembu itu sewaktu hendak memancing bersama empat lagi rakannya di tepi sungai itu pada pukul 3 petang, Sabtu lalu.

“Kami percaya lembu tersebut telah mati di kawasan lain sebelum dibuang di kawasan pembuangan sampah haram terbabit pada minggu lalu.

“Kebanyakan bangkai lembu terbabit memiliki tag khas pada bahagian telinga dipercayai dipasang oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV),” katanya di sini hari ini.

Wan Mohd. Faizul berkata, walaupun tidak pasti punca kematian lembu-lembu itu namun perbuatan membuangnya begitu sahaja tanpa perlupusan mengikut prosedur ditetapkan disifatkan sebagai amat tidak bertanggungjawab.

Dia berkata, tambah merisaukannya, bangkai lembu yang terbiar tersebut kini sudah mula mereput dan berulat.

“Jika terus dibiarkan ia bukan sahaja mengeluarkan bau kurang menyenangkan malah dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan penduduk kampung berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

11 bangkai lembu dijumpai di tepi sungai

......