NASIONALJenayahApa gila!! Tikam isteri, ibu mentua kerana selisih faham

Apa gila!! Tikam isteri, ibu mentua kerana selisih faham

Tumpat: Seorang lelaki ditahan polis ketika cuba terjun dari tingkat 31 di sebuah bangunan dalam pembinaan di Lembah Sireh di Kota Bharu, dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, hasil semakan lanjut mendapati suspek berusia 26 tahun itu adalah individu yang dilaporkan menikam isteri dan ibu mentuanya di rumah mereka di Chabang Empat, di sini, petang semalam.

Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan pada 10.14 pagi tadi sebaik pihaknya menerima maklumat berkaitan individu yang ingin terjun bangunan.

“Semakan dibuat mendapati lelaki itu ada kaitan dengan kes mendatangkan kecederaan yang dilaporkan. Pada 6.35 petang semalam, suspek menikam isteri dan ibu mentuanya masing-masing berusia 20-an dan 60-an dengan dua pisau di rumah mereka.

“Kejadian dipercayai berpunca dari perselisihan faham antara suspek dengan isterinya yang menyebabkan kedua mangsa dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu kerana cedera parah.

“Isteri suspek mengalami retak dan luka di bahagian kepala, patah dua jari tangan serta luka di beberapa bahagian anggota badan manakala ibu mentuanya pula luka di kepala akibat ditikam suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Amran berkata, suspek mempunyai tiga rekod lampau bersabit dadah dan permohonan reman akan dibuat esok.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK).

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/06/854577/tikam-isteri-ibu-mentua-kerana-selisih-faham?fbclid=IwAR1dAnZoqzfyt48mIlsHM9CzlJAKKA33CXf0d72IvPVLtmipD8yRKkKiuiY

......