Seorang lelaki ditahan polis semalam selepas mencederakan isterinya sendiri dalam satu pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berhubung perniagaan kuih samosa diusahakan mereka.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, kejadian berlaku pada 13 April lalu kira-kira pukul 3.15 petang di sebuah rumah di sini sewaktu pasangan berkenaan sedang bertengkar tentang perniagaan mereka.

“Suami mangsa yang merupakan warga Indonesia berusia 28 kemudiannya telah memburukkan keluarga isterinya dan membaling senduk kayu ke arah wanita berkenaan ketika mangsa mahu ke bilik, namun balingannya tidak mengenai sasaran.

“Tidak berakhir di situ, suspek kemudiannya telah naik ke tingkat atas dan bertindak menarik tangan serta mengheret isterinya turun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Abd. Khalid, suspek kemudiannya cuba mengambil kad bank milik mangsa sehingga berlaku pergelutan sebelum wanita berkenaan ditolak dan ditumbuk pada perut sehingga terduduk.

“Susulan kejadian, mangsa yang berasal dari Timur Tengah namun memiliki kad pengenalan Malaysia itu telah membuat laporan polis untuk keselamatan diri dan mahu merujuk perkara tersebut ke mahkamah syariah bagi mendapatkan khidmat kaunseling.

“Pada 21 April (semalam), kira-kira pukul 1 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Subang Jaya telah membuat tangkapan ke atas suspek namun lelaki berkenaan telah diberi jamin,” jelas beliau.

Tambah Abd. Khalid, siasatan berhubung kes berkenaan masih dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. – Kosmo