LA PAZ: Kerajaan Bolivia bukan sahaja berdepan gelombang baharu Covid-19 bahkan terpaksa berdepan dengan penyebaran berita palsu daripada golongan antivaksin.

Lapor Reuters, situasi itu mencetuskan keraguan dalam kalangan orang ramai sehingga menyebabkan pusat vaksinasi hampir separuh daripadanya kosong.

Petugas kesihatan dan pihak berkuasa menzahirkan kebimbangan mengenai kehadiran bilangan orang ramai yang semakin berkurangan di beberapa pusat vaksinasi kerana dikhuatiri menyebabkan pembaziran dos vaksin.

Timbalan Menteri Epidemiologi, Maria Rene Castro berkata, pihaknya menyalahkan kempen berita palsu yang turut menyebarkan risalah mendakwa kononnya vaksin mengandungi bahan berunsurkan ‘syaitan’.

“Kami sempat membaca beberapa risalah disebarkan di El Alto daripada kumpulan antivaksin yang mendakwa vaksin Covid-19 dihasilkan daripada bahan berunsurkan iblis.

“Maklumat global yang tidak betul itu sudah tersebar luas di negara ini serta memberi kesan kepada individu untuk mengelak daripada menerima suntikan vaksin,” katanya.

Bolivia seperti negara Amerika Selatan lain bergelut dengan gelombang kematian akibat Covid-19 dengan kes harian meningkat sebanyak 98 peratus dan 14,000 kematian direkodkan.

Antivaksin dakwa vaksin Covid-19 ada unsur ‘syaitan’