POLITIKAnalisis PRN Johor: Muda ada masalah ‘tidak sebulu’ dengan AMK?

Analisis PRN Johor: Muda ada masalah ‘tidak sebulu’ dengan AMK?

Kerjasama yang terjalin antara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan Pakatan Harapan (PH) telah menimbulkan rasa tidak puas hati sayap parti komponen gabungan itu, khususnya Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Situasi itu dapat dilihat berdasarkan kenyataan demi ke­nyataan dikeluarkan kepimpinan AMK sama ada di peringkat pusat mahupun peringkat negeri.

Kemuncak perselisihan itu adalah dakwaan dibuat Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengatakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, S. Gopalakrishnan yang menyalah guna kuasa diberi selaku wakil rakyat kawasan itu.

Akibat daripada tuduhan berkenaan, Syed Saddiq meneri­ma kritikan termasuk daripada Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir yang juga merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru.

Ahli Parlimen Muar itu bagaimanapun telah menarik semula kenyataan berkenaan dan turut membuat permohonan maaf secara terbuka dan me­ngakui terkhilaf.

Sementara itu, Syed Saddiq memaklumkan pihaknya tidak berhasrat bertindih fungsi sayap pemuda parti komponen PH sama ada AMK mahupun Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) dan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah).

Sebaliknya beliau berkata, kerjasama itu perlu dilihat dalam aspek lebih besar iaitu memberi nilai tambah kepada masyarakat, khususnya golongan muda di negara dan negeri ini.

“Tanggungjawab Muda adalah untuk membawa perubahan yang bermakna di Johor, jadi penting untuk kita kurangkan pertindihan kerusi dalam kala­ngan parti pembangkang.

“Ini lebih utama agar kita dapat fokus dan memberikan tumpuan kepada usaha untuk menang Pilihan Raya Negeri Johor.

“Apapun kita akan cuba untuk menjalinkan kerjasama yang memberi situasi menang-menang khususnya kepada rakyat sendiri.

“Sama ada betul kerjasama Muda dalam PH akan menindih fungsi sayap pemuda mereka, itu biar rakyat yang tentukan,” katanya.

Analisis PRN Johor: Muda ada masalah ‘tidak sebulu’ dengan AMK?

......