Foto - Malaysia Gazette

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, memerintahkan anak Menteri Pertahanan, Ahmad Saiful Islam Mohamad, membela diri atas tuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel terkemuka, awal tahun lalu.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Saiful, 31, iaitu anak kepada Mohamad Sabu.

“Mahkamah mendapati keterangan pendakwaan menunjukkan tiada pecahan dalam rangkaian bukti .

“Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 13 Februari ini untuk perbicaraan bela diri,” katanya.

Terdahulu, peguam Nasar Khan yang mewakili Ahmad Saiful memberitahu mahkamah, anak guamnya akan memberi keterangan daripada kandang saksi.

Pada 13 Jun lalu, Ahmad Saiful Islam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dakwaan menggunakan dadah THC, yang juga dadah terdapat pada ganja di pusat hiburan, Hotel W, di Kuala Lumpur pada 2.05 pagi, 5 Januari 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Sepanjang prosiding perbicaraan bermula 15 Oktober 2019, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatin Mohamad Farid memanggil seramai enam saksi bagi memberi keterangan.

Menurut laporan media, pada 6 Januari 2019, Ahmad Saiful dan seorang lagi rakannya ditahan selepas didapati positif dadah di sebuah pusat hiburan di tingkat 12 sebuah hotel di Jalan Ampang di Kuala Lumpur.

Anak ketiga Mohamad itu ditahan dalam Ops Pusat Hiburan Bersepadu oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pada 12.30 tengah malam.

Harian Metro