KUALA LUMPUR – Nampaknya bukan sahaja rakyat biasa yang rasa tertipu dengan janji-janji ‘kosong’ Pakatan Harapan (PH) sebaliknya penyokong tegar kerajaan juga nampaknya ada yang makan hati.

Terbaru, Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan, Datuk S Ambiga, seperti dilaporkan oleh The Star dalam satu forum di Kuala Lumpur melahirkan rasa kecewa dengan tindak tanduk kerajaan PH dalam melaksanakan reformasi serta pindaan undang-undang seperti yang dijanjikan.

Ambiga yang sememangnya lantang khasnya isu-isu kemanusian terutamanya sebelum PH menang besar sehingga berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

Malah Ambiga sendiri banyak mengkritik kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN) sebelum ini kini menyoal siapakah ‘dalang’ dalam kelewatan kerajaan meluluskan atau melakukan pindaan undang-undang seperti

Menariknya, kali ini Ambiga dengan lantang memberitahu rakyat tidak akan teragak-agak seandainya perlu sekali lagi turun ke jalanan melakukan demonstrasi jika kerajaan PH terus mengabaikan isu-isu kemanusiaan.

“Banyak yang masih lagi tertangguh. Malah penangguhan serta kelewatandalam meminda serta menggubal undang-undang sedia yang sebelum ini telah di janjikan. Antaranya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Saya sendiri tidak tahu mengapa ada kelewatan sehingga tahun depan.

“Apa yang berjaya dimansuhkan adalah Akta Antiberita Tidak Benar 2018. Yang lain-lain masih ada kelewatan. Apa jadi dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 (SOSMA)?

“Siapakah yang menjadi ‘penghalang’ kepada pemansuhan undang-undang ini? Apa yang susah sangat sehingga banyak sangat kelewatan dan alasan demi alasan? Langsung tidak boleh diterima,” katanya semalam.

Malah beliau sempat bertemu dengan beberapa tahanan SOSMA yang dikaitkan dengan kes kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), dirinya seolah ‘terkedu’ untuk menjawab persoalan mereka.

“Baru-baru ini saya sempat bertemu dengan lima orang yang ditahan di bawah SOSMA. Mereka ini tidak tahu apa akan berlaku kepada mereka dan berapa lama lagi akan berada dalam tahanan.

“Apa yang lebih gusarkan saya apabila ada antara mereka memberitahu saya, mereka telah berjuang untuk menukar kerajaan ada kini dan kerajaan itu telah ‘melontarkan’ mereka ke dalam penjara. Saya tidak tahu bagaimana untuk jawab soalan ini sebenarnya.

“Saya tidak akan sesekali menyalahkan sesiapa kecuali kerajaan yang ada kini.

“Pastinya itu akan berlaku. Rakyat kembali ke jalanan menuntut janji. Itu akan berlaku seandainya kerajaan kini tidak mempunyai keberanian untuk melakukan perkara yang betul,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ambiga turut memberi menasihati pemimpin khasnya ahli politik supaya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan atau bercakap dengan masyarakat umum apatah lagi ‘ucapan kebencian’ mampu menyemarakan keadaan tegang pada satu ketika.

“Ucapan-ucapan berbaur kebencian ini akhirnya menyebabkan pelbagai isu serta perlakuan jenayah yang sepatutnya boleh dielakan dari awal lagi. Kita boleh lakukan sesuatu begitu juga dengan kerajaan,” ujarnya. –MalaysiaGazette