DUNIA UK beri amaran alergi terhadap vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech

[Alamak] UK beri amaran alergi terhadap vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech

LONDON: Pegawai kesihatan Britain pada Rabu memberi amaran kepada individu yang mempunyai sejarah tindak balas alergi ketara tidak patut mengambil vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech buat sementara waktu.

Amaran itu menyusul dua anggota Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) yang merupakan antara orang pertama menerima vaksin itu pada Selasa, mengalami tindak balas alergi dan memerlukan rawatan.

Pengarah Perubatan NHS England, Stephen Powis berkata, kedua-dua individu itu, yang mempunyai sejarah tindak balas alergi, kini pulih dengan baik.

Katanya, Agensi Pengawal Selia Produk dan Ubat-ubatan Kesihatan (MHRA) kini menasihatkan “individu dengan sejarah tindak balas alergi ketara tidak menerima vaksin ini” sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut MHRA, tindak balas alahan “ketara” itu termasuk ubat-ubatan, makanan atau vaksin.

Ribuan rakyat Britain menjadi kumpulan pertama di dunia Barat menerima vaksin Covid-19 yang diluluskan pada Selasa, ketika NHS memulakan program vaksinasi terbesar sejak ia ditubuhkan pada 1948.

Vaksin itu terdiri daripada dua dos yang perlu disuntik selang 21 hari. Warga emas melebihi 80 tahun dan kakitangan penjagaan sosial ialah kumpulan pertama yang mendapat suntikan itu.

Britain sudah mendapat kira-kira 800,000 dos vaksin itu daripada tempahan kumpulan pertama sebanyak 40 juta. Sehingga empat juta dos dijangka diterima menjelang akhir bulan ini.

Ketua Eksekutif Pfizer, Albert Bourla pada Selasa berkata, beliau memahami kebimbangan global terhadap kepantasan syarikat farmaseutikal menghasilkan vaksin itu.

Tetapi, beliau menegaskan mereka tidak akan mengambil jalan pintas dalam penghasilan vaksin itu.

Vaksin itu diuji “dalam cara sama kami menguji sebarang vaksin yang diedarkan di luar sana”, katanya dalam taklimat media maya di Geneva.

Pfizer berkata, MHRA sudah memaklumkannya mengenai reaksi alahan itu, tetapi ketika percubaan tahap ketiga ke atas lebih 40,000 orang, vaksin itu “secara umumnya diterima dengan baik tanpa kebimbangan serius terhadap keselamatan” dilaporkan.

FMT

......