PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) perlu berterus-terang dengan rakyat dan mengaku bahawa ia menjanjikan sesuatu yang mustahil dalam manifesto pilihan rayanya, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Susulan kekalahan besar PH dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai, Lim berkata, beliau percaya, rakyat Malaysia akan “menghargai sikap terus-terang kita dengan sokongan dan kepercayaan yang tidak banyak berganjak.”

Bercakap kepada konvensyen DAP Perak di Ipoh hari ini, Lim juga berkata, DAP tidak akan menjadi seperti MCA atau PH seperti Barisan Nasional (BN).

Katanya, ini kerana DAP dan PH komited dengan agenda membina sebuah Malaysia Baru, yang merupakan “objektif yang ditentang oleh MCA, BN dan Muafakat Nasional”.

Lim berkata, telah tiba masa bagi empat parti komponen PH mempertegaskan kembali harapan dan janji yang dibuat dalam manifestonya, yang dikenali sebagai Buku Harapan.

“Kita perlu meyakinkan penyokong tegar kita bahawa perjalanan ke arah Malaysia Baru berada di landasannya, dan lima janji teras yang terkandung dalam manifesto itu akan kekal sebagai bintang pedoman dan prinsip panduan kita.”

Katanya, lima janji teras PH itu ialah meringankan beban kehidupan rakyat; melaksanakan pembaharuan institusi dan politik; menjana pertumbuhan ekonomi yang adil dan mapan; memulihkan status Sabah dan Sarawak seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963; dan membina sebuah negara yang inklusif, moderat dan dihormati di peringkat dunia.

Lim berkata, PH menerima tamparan kuat di Tanjung Piai kerana pengundi kecewa terhadap rekod pencapaiannya dalam tempoh 18 bulan lepas.

“Lebih buruk ialah kepercayaan bahawa kerajaan PH di Putrajaya kini kembali ke cara usang kerajaan BN sebelum ini.

Baca selanjutnya FMT