NASIONALAgong berkuasa lantik PM interim

Agong berkuasa lantik PM interim

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong berkuasa melantik Perdana Menteri interim sekiranya politik negara berdepan kebuntuan sehingga tiada mana-mana pihak pada hemat baginda boleh mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Pakar Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, berkata Perdana Menteri interim tidak dinyatakan dalam Perlembagaan, namun ia adalah amalan atau konvensyen Perlembagaan.

“Ramai orang membaca Perlembagaan secara literal sedangkan kalau kita baca konsep eksekutif secara menyeluruh bersama konsep konvensyen Perlembagaan dan konsep prerogatif, jelas menunjukkan Agong mempunyai kuasa melantik Perdana Menteri interim.

“Kali pertama negara kita mempunyai Perdana Menteri interim ialah sewaktu kemelut politik Mac 2020, kita dapati tiada yang membantah atau mahu membawanya ke mahkamah untuk dipertikaikan.

“Apabila tidak dipertikai dan telah diguna pakai, maka ia dianggap sebagai konvensyen atau amalan Perlembagaan yang diterima pakai oleh semua pihak,” katanya kepada BH hari ini.

Nik Ahmad Kamal berkata, dengan adanya Perdana Menteri interim, Proklamasi Darurat juga boleh dikuatkuasakan bagi meminda undang-undang berkaitan pilihan raya supaya ia boleh dilaksanakan dengan kaedah baharu seperti hibrid.

“Darurat boleh dibuat untuk pinda peraturan pilihan raya kerana Parlimen sudah tidak boleh bersidang kerana kerajaan sudah tiada.

“Dengan cara itu undang-undang pilihan raya yang sesuai dengan keadaan pandemik boleh dibuat bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/850131/agong-berkuasa-lantik-pm-interim

......