KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat berhubung kenyataan Adun Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir yang mengumumkan keluar daripada parti itu untuk menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Saya belum boleh komen sebab saya pun belum menerima sebarang maklumat lanjut lagi, jadi biar saya siasat dulu.

“Sekiranya benar (Hassan keluar Warisan), kita buat lah apa yang perlu, apa lagi kita boleh buat kan?” katanya ringkas ketika dihubungi FMT, hari ini.

Terdahulu, Bernama melaporkan Hassan keluar parti atas alasan Warisan masih mengutamakan politik berbanding kesejahteraan rakyat.

Katanya, beliau kini seorang Adun Bebas yang menyokong kerajaan negeri di bawah GRS serta kepemimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

“Saya melihat perkara yang diperlukan oleh negara pada hari ini adalah kestabilan politik. Kestabilan ini penting untuk memastikan kerajaan dapat memberikan sepenuh perhatian dalam menangani Covid-19 dan menjaga kesejahteraan rakyat.

“Saya amat berdukacita melihat pendirian Parti Warisan yang dilihat masih bermain dengan rentak politik Pakatan Harapan (PH) yang mengutamakan kepentingan politik berbanding kesejahteraan rakyat yang terbeban dengan isu Covid-19,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, hari ini.

Susulan tindakan Hassan menyokong GRS, gabungan itu yang dianggotai parti komponen Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah kini memiliki sokongan 48 Adun daripada keseluruhan 79 Adun di negeri itu.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/25/adun-warisan-keluar-parti-saya-belum-terima-maklumat-kata-setiausaha-agung/