POLITIKAda exco cuba sabotaj MB Perak kata Adun PKR

Ada exco cuba sabotaj MB Perak kata Adun PKR

Adun Hulu Kinta (PKR), Muhamad Arafat Varisai Mahamad mendakwa seorang exco di Perak seolah-olah cuba “mensabotaj” usaha kerajaan negeri dalam menangani wabak Covid-19.

Jelasnya, exco dari Perikatan Nasional (PN) itu dilihat tidak berminat untuk turun padang dalam program rasmi kerajaan negeri sebagai tanda protes kepada Menteri Besar, Saarani Mohamad.

“Sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) di pusat telah ditumbangkan, ada exco kerajaan dari parti PN tidak ikhlas membantu usaha kerajaan negeri serta tidak minat turun padang bersama menteri besar walaupun menjadi tanggungjawab beliau.

“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini di mana exco bertanggungjawab tidak mahu turun bersama MB dalam program rasmi bukan sekali, tapi beberapa kali.

“Saya difahamkan tindakan ini satu bentuk protes dan memberi ‘amaran’ tidak teragak-agak tarik sokongan terhadap MB sekiranya masih tidak menghormati PN di Perak.

“Tindakan beliau tidak memberikan kerjasama dalam usaha menangani pandemik sedangkan beliau merupakan exco yang bertanggungjawab menangani pandemik seolah-olah ‘sabotaj’ dengan niat mewujudkan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri Perak,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad Arafat bagaimanapun tidak menamakan exco berkenaan.

Kelmarin Sinar Harian melaporkan  beberapa Adun pembangkang mempersoalkan peranan Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin yang dikatakan ‘banyak hilang’ ketika kerajaan negeri berdepan pandemik Covid-19.

Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai), Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji) dan Asmuni Awi (Amanah-Manjoi) membangkitkan perkara itu pada sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di Ipoh, Khamis lalu.

Kar Hing berkata, penularan kes Covid-19 di Perak menunjukkan kebimbangan dengan kadar peningkatan kes yang tinggi, kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi (ICU) dan jumlah kematian direkodkan setiap hari.

Sementara itu, Mohd Akmal Kamarudin ketika dihubungi Malaysiakini berkata dia akan menjawab tuduhan terhadapnya dalam sidang DUN Isnin ini.

“Saya respon dalam sidang DUN Perak Isnin ini,” katanya ringkas.

Untuk rekod pada Disember tahun lalu, Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan dalam usul keyakinan terhadapnya selaku menteri besar dalam sidang DUN Perak.

PAS yang memiliki tiga Adun pada masa itu berpendirian untuk tidak menyertai pembentukan kerajaan baru.

Namun, kemelut pemilihan jawatan itu akhirnya terungkai selepas Bersatu, PAS dan Umno bersetuju mencadangkan Saarani Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak sebagai menteri besar, sekali gus mengekalkan gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak.

Malaysiakini

......