JAKARTA – Sekurang-kurangnya 7 individu mati lemas selepas bot tumpangan dengan muatan penuh yang dinaiki terbalik akibat cubaan pelancong untuk merakam swafoto.

Menurut Ketua Polis daerah Jawa Tengah, Ahmad Lutfi, dalam kejadian yang berlaku di sebuah tasik buatan di daerah Bayolali itu, bot tersebut dilaporkan terbalik apabila kesemua 20 pelancong yang menaikinya tiba-tiba berkumpul di hanya satu bahagian bot untuk mengambil swafoto, menyebabkan ia tidak seimbang lalu terbalik.

“Punca kejadian adalah terlebih muatan.

“Kesemua 20 penumpang beralih ke satu bahagian bot sahaja lalu terbalik,” jelas Lutfi.

Polis menambah, 11 daripada mangsa berjaya diselamatkan manakala 7 yang lain dilaporkan meninggal dunia.

Pihak berkuasa berkata akan menyiasat sekiranya terdapat unsur kecuaian oleh pengendali bot dalam kejadian tersebut.

Bot itu dipandu oleh seorang remaja lelaki berusia 13 tahun.

Kemalangan bot sering berlaku di Indonesia akibat standard keselamatan yang lemah. -AFP