Gantung tidak bertali. Itulah nasib lebih 50 wanita Orang Asli yang ditinggalkan suami warga asing yang pulang ke negara asal.

Lelaki hidung belang warga asing itu bekerja di ladang sayur sekitar Lojing, dekat Gua Musang berkahwin dengan wanita Orang Asli sejak 10 tahun lalu.

Mereka termasuk warga Pakistan, Nepal, Bangladesh dan Indonesia hingga ada antaranya didakwa membawa lari wanita Orang Asli berkahwin di negara asal.

Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng, berkata kalangan ibu tunggal kaum itu juga berdepan bebanan terutama bagi memelihara anak mereka hasil perkongsian hidup.

Dia berkata, masalah itu bukan perkara baru bagi kaum Orang Asli sekitar Lojing dan Pos Brooke tetapi tidak ada tindakan selepas dibuat aduan terbabit.

Beliau terpaksa membuat pendedahan itu kerana ibu bapa Orang Asli semakin bimbang dengan keselamatan anak gadis mereka diganggu lelaki warga asing.

“Yang menjadi mangsa lelaki hidung belang warga asing anak gadis Orang Asli dan hidup merana selepas suami mereka pulang ke negara asal.

“Perundangan mana yang harus dipertanggungjawabkan dan sampai bila gadis Orang Asli terpaksa berdepan dengan perkara itu,” katanya di Gua Musang, hari ini.

Sementara itu, Penghulu Orang Asli Pos Brooke, Riang Bujang mengakui gadis Orang Asli selalu menjadi buruan lelaki warga asing yang bekerja di ladang sayur.

“Apabila mereka pulang ke negara asal, lupakan semua tanggungjawab kepada isteri dan anak kerana mereka juga sudah ada isteri di negaranya,” katanya.

Dia berkata, berdasarkan maklumat yang diterima terdapat lebih 100 wanita Orang Asli sudah mendiri rumah tangga dengan lelaki warga asing.

“Kita tidak boleh halang mereka berbuat demikian kerana pilihan wanita Orang Asli itu sendiri dan selepas digantung tidak bertali baru sedar bebanan hidupnya,” katanya.

https://www.hmetro.com.my/utama/2020/08/606433/lebih-50-ditinggalkan-suami-warga-asing