LONDON: Beberapa pakar mendedahkan pesakit dijangkiti Covid-19 yang dimasukkan ke hospital di United Kingdom (UK) kini terdiri daripada golongan muda, tiada komplikasi teruk dan dibenarkan keluar wad lebih awal.

Lapor Daily Mail, Ketua Eksekutif NHS Providers, Chris Hopson berkata, terdapat bukti yang ketara vaksin Covid-19 telah `memutuskan rantaian’ antara jangkitan dan jumlah kemasukan pesakit ke hospital.

Jelasnya, bilangan individu yang dimasukkan ke hospital secara konsisten lebih rendah berbanding gelombang  pandemik Covid-19 sebelum ini.

Malah, katanya, beberapa ketua NHS di lokasi panas wabak Covid-19 turut melaporkan penurunan dalam jumlah pesakit dimasukkan ke hospital.

Menurut Hopson, ketua lembaga kesihatan NHS melaporkan tiga perkara yang konsisten mengenai isu kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital.

“Yang pertama mengenai jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital, iaitu secara konsisten menunjukkan jauh lebih rendah daripada gelombang pandemik terdahulu.

“Perkara kedua berhubung pesakit yang dimasukkan ke hospital rata-ratanya merupakan golongan lebih muda, tiada komplikasi teruk dan tidak memerlukan rawatan kritikal sekali gus kes kematian juga rendah.

“Perkara ketiga berkaitan bilangan kemasukan ke hospital yang sangat berkurangan kerana individu sudah menerima suntikan vaksin yang lengkap,” katanya menerusi Twitter.

Tambah Hopson, kebanyakan individu yang dimasukkan ke hospital selepas menerima dua suntikan vaksin hanya mempunyai `co-morbidities’ atau komplikasi yang lain.

Pegawai hospital turut melaporkan jangkitan komuniti dan jumlah pesakit Covid-19 dimasukkan ke wad menunjukkan penurunan di lokasi panas.

“Terdapat keyakinan tinggi bahawa vaksin berjaya memutuskan rantaian antara jangkitan Covid-19 dan jumlah kemasukan pesakit ke hospital.

“Bagaimanapun, NHS berdepan dengan tekanan besar termasuk masih mempertimbangkan beberapa aspek dan risiko penting ketika memutuskan sama ada untuk menarik balik sekatan pada 21 Jun,” katanya.

Vaksin putuskan rantaian Covid-19